ARKIB : 13/05/2010
Kajian beban guru siap dalam seminggu
PUTRAJAYA 12 Mei – Laporan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban guru di seluruh negara akan siap dan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa seminggu lagi.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penyerahan laporan tersebut dapat dilakukan setelah proses pengumpulan maklumat dan perbincangan mengenai kajian beban guru kini di peringkat akhir.
Menurutnya, kementerian sebelum ini memberikan tempoh selama dua bulan dari April hingga akhir Mei ini untuk membincangkan tentang bebanan tugas guru.
“Petang ini juga saya mengadakan mesyuarat terakhir dengan ahli jawatankuasa untuk membincangkan laporan bebanan tugas guru.
“Apabila semua maklumat telah dikumpulkan kita akan menyerahkan laporan tersebut kepada Menteri Pelajaran dengan segera dan beliau akan mengumumkan perkara yang dicadangkan dalam laporan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas memberi taklimat mengenai Sambutan Hari Guru 2010 yang akan berlangsung di Pahang, Ahad ini.
Laporan jawatankuasa khas itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.
Alimuddin berkata, jawatankuasa khas itu bernasib baik kerana hampir dapat menyiapkan laporan tersebut pada waktu yang ditetapkan disebabkan terdapat laporan-laporan lepas untuk dijadikan rujukan.
Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa khas itu juga mengambil pendekatan mengadakan makmal perbincangan dengan menjemput para guru, pengetua dan pegawai pendidikan daerah memberi pandangan.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm#ixzz3SB3wdDxl
© Utusan Melayu (M) Bhd
MAKLUM BALAS LAPORAN AKHBAR
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “JDOY:BHA32217” dalam ruangan Rakan@bh akhbar Berita Harian bertarikh 10 Mei 2011.
KPM merujuk kepada SMS – Wahai Kementerian Pelajaran Malaysia! Apa keputusan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru? Harap umumkan, jangan dilengah-lengahkan lagi!
Bagi menangani isu beban tugas guru, KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG). JKMIBTG telah mengenal pasti 14 faktor yang menyebabkan guru-guru terbeban dan telah mencadangkan 28 perakuan untuk menangani isu beban tugas guru ini. Daripada 28 perakuan tersebut, ada yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek dan ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk dilaksanakan.
Satu Jawatakuasa Kerja Pelaksana yang terdiri daripada Bahagian-bahagian di KPM juga telah ditubuhkan untuk memastikan perakuan-perakuan tersebut dilaksanakan. Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap sebulan di mana status pelaksanaan perakuan-perakuan ini akan dilaporkan.
Antara perakuan yang telah diambil tindakan adalah:
- Edaran surat siaran oleh KPM bagi menjelaskan serta menegaskan bahawa perancangan dan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu hendaklah diadakan secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan; dan
- Satu kajian eksperimental sedang dijalankan mulai Januari sehingga Disember 2011 bagi melihat keberkesanan penambahan jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dalam mengurangkan beban tugas guru khususnya tugas-tugas perkeranian yang selama ini dilakukan oleh guru. Sehubungan itu, KPM telahpun membuat pengisian 100 jawatan tambahan PT (P/O) di 50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen murid melebihi 1,500 orang bagi tujuan kajian eksperimental tersebut. Dapatan kajian ini akan membantu KPM dalam menangani isu beban tugas guru.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment