Pages

BEBANAN TUGAS GURU

Transformasi yang ingin dilakukan dalam bidang pendidikan secara dasarnya memberi banyak kebaikan terhadap perkembangan seluruh anggota masyarakat. Namun begitu, hakikatnya para guru terpaksa memikul lambakan tugas yang semakin bertambah. Keadaan ini memaksa guru untuk melakukan bidang tugas di luar keupayaan mereka. Dengan itu, tangggungjawab dan tugas guru yang semakin mencabar telah memberikan tekanan stres secara tidak langsung. Stres dalam kalangan guru didefinisikan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, tekanan serta kekecewaan yang berpunca daripada aspek kerja mereka.
            Guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendididikan akan mengalami stres. Tekanan emosi yang dialami oleh guru ini sekiranya tidak dikawal akan memberikan kesan terhadap persekitaran kerja mereka. Contohnya stress dalam kalangan guru menyebabkan  potensi berlakunya masalah salah guna kuasa guru terhadap murid-murid. Terutamanya yang berlaku dalam aspek hukuman yang boleh mengakibatkan penderaan. Hal ini seterusnya memberi kesan terhadap emosi murid tersebut.
            Seterusnya, bebanan kerja yang dialami oleh guru akibat daripada perubahan dalam bidang pendidikan akan menyebabkan berlakunya burn out. Burnout ialah satu fenomena atau sindrom di mana seseorang individu akan mengalami tekanan emosi sehingga membawa kepada tahap kelesuan, perubahan personaliti dan pencapaian kendiri akan menurun dengan ketara. Dalam hal ini, seseorang guru dikatakan mudah untuk mengalami fenomena burn out apabila merasakan mereka tidak berkemampuan lagi menanggung beban emosi yang tidak stabil. Bebanan kerja yang banyak akan menyebabkan guru tidak boleh memberi tumpuan kepada sebarang tugasan kerana kebosanan kerja yang tidak mendatangkan kepuasan pada diri. Burn out bukan hanya memberi impak negatif terhadap kesihatan diri guru malahan turut menyebabkan penurunan produktiviti dan kerja guru sebagai pendidik.
Namun begitu, peningkatan beban kerja guru ini bukan hanya menyebabkan tekanan emosi dalam kalangan guru malahan turut menyebabkan gangguan emosi terhadap pelajar. Gangguan emosi merupakan gangguan yang diterima oleh seseorang pelajar yang menyebabkan emosi pelajar tersebut tidak stabil.
Antara tanda awal gangguan emosi yang dialami oleh pelajar adalah kemerosotan pencapaian akademik. Bebanan tugas yang perlu dipikul oleh guru menyebabkan prestasi guru terjejas dan pengajaran dan pembelajaran juga tidak dapat berjalan dengan sempurna. Sebagai contohnya, guru yang kadang kala terpaksa meninggalkan kelas kerana harus menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak sekolah  secara langsung telah menyebabkan pelajar kelasnya terabai. Lama-kelamaan jika perkara ini sering dilakukan akan menyebabkan pelajar semakin malas dan tidak bersemangat untuk belajar. Hal ini juga akan menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya menyebabkan pencapaian akademik mereka mulai merosot. Pada ketika inilah pelbagai pihak mula menuding jari dan meletakkan kesalahan terhadap kelemahan guru yang gagal untuk mendidik pelajarnya walhal hakikatnya guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab sampingan yang lain.
Tanda awal gangguan emosi murid yang kedua adalah hilang daya tumpuan di dalam kelas. Murid yang mengalami gangguan emosi biasanya suka termenung, cepat marah, tidak selesa berada di dalam kelas dan sering berasa cemas. Hal ini mungkin terjadi disebabkan oleh kelakuan guru terhadap mereka. Contohnya, guru yang mengalami tekanan untuk merealisasikan matlamat sekolah bagi memenuhi transformasi pendidikan semasa berkemungkinan melepaskan tekanan tersebut kepada pelajar melalui hukuman yang tidak sewajarnya semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tindakan sebegini bukan hanya menyebabkan pelajar tersebut membenci kelakuan guru terbabit malahan akan menjejaskan emosinya untuk belajar.
Seterusnya, tanda awal gangguan emosi yang dialami pelajar juga dikesan apabila mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Hal ini mungkin berlaku kerana tiadanya keseronokan dan semangat untuk menuntut ilmu. Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang pula oleh suasana guru yang semakin kurang berinteraksi dengan pelajar. Ini kerana tugas mereka bukan hanya mengajar tetapi turut dibebani tugas lain antaranya mengurus data, fail, buku rekod dan laporan, urusan pentadbiran, urusan kurikulum dan kokurikulum serta hal ehwal murid bagi mencapai matlamat transformasi pendidikan.
Selain itu antara tanda awal lain yang menunjukkan bahawa seseorang pelajar tersebut mengalami gangguan emosi adalah apabila pelajar tersebut menunjukkan konsep kendiri yang lemah. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang lemah akan sentiasa berasa tidak puas hati, tidak gembira, pasif dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. Kesan gangguan emosi yang dialami oleh murid ini mungkin lahir kerana kurangnya perhatian yang diberikan oleh guru kepadanya semasa di dalam kelas. Kesibukan guru kadang kala memaksa mereka untuk lebih memfokuskan pada sesi pengajaran  bagi menghabiskan silibus mata pelajaran. Hal ini telah mengurangkan sesi interaksi antara guru dan murid di dalam kelas.

0 comments:

Post a Comment